Wednesday, March 7, 2007

ICT DI SEKOLAH... KEPERLUAN MENUJU WAWASAN 2020

Masih ada jurang : walau selepas 50 tahun

KINI setelah Malaysia diambang Jubli Emas ulang tahun ke-50 tahun kemerdekaan, usaha merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar semakin giat dijalankan.
Hal ini kerana, di 1,517 sekolah rendah dan 68 buah sekolah menengah, tiada bekalan air awam.
Bagi sekolah-sekolah tersebut, bekalan air disediakan melalui kaedah bekalan air graviti, penuaian hujan dan telaga tiub.
Ini bermakna, masih ada sekolah yang mendapat sumber air daripada air sungai , air terjun dan menadah air hujan.
Perancangan kurikulum dan pembangunan perisian juga jauh lebih pantas daripada pembangunan infrastruktur.
Sebanyak 1,639 buah sekolah rendah tidak mempunyai bilik sains, dan 42 buah sekolah masih menumpang di sekolah lain.
Bagi sekolah menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal komputer, 25 buah tidak makmal sains dan 26 buah masih menumpang di sekolah lain.
Begitu juga walaupun sistem pendidikan kebangsaan telah diperkenalkan kepada Orang Asli sejak 1960an, namun didapati bilangan yang berjaya dalam pendidikan amat kecil.
Statistik awal tahun 2000 menunjukkan masih terdapat sekolah di kawasan pedalaman, terpencil dan pulau yang tidak mendapat kemudahan asas.
Pada ketika itu, terdapat 20.6 peratus sekolah yang tidak mempunyai talian telefon, 86.6 peratus tiak mempunyai mesin faks, 7.3 peratus tidak mendapat bekalan elektrik dan 24.78 peratus tidak menerima bekalan air paip awam.
Seperti yang diramalkan, kekurangan infrastruktur akan menyeret sekali ke bawah prestasi pelajar.
Hal ini tiada kaitan dengan kecerdesan pelajar, tetapi lebih kepada corak hidup serta peluang yang terhidang kepada mereka.
Sekali lagi, statistik pada tahun 2000 membuktikan hal itu.
Secara keseluruhannya, pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2000 jelas menunjukkan prestasi akademik prestasi akademik murid luar bandar lebih rendah - dalam mata pelajaran Bahasa melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Pencapaian murid bandar di atas tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris adalah 67.5 peratus berbanding murid luar bandar iaitu iaitu 51.9 peratus.
Pencapaian yang sama ditunjukkan bagi mata pelajaran Matematik iaitu 80.5 peratus bagi murid bandar berbanding 72.7 peratus bagi murid luar bandar.
Begitu juga bagi mata pelajaran Sains, pencapaian murid bandar ialah 81 peratus berbanding murid luar bandar cuma 75.9 peratus.
Begitu juga isu kekurangan guru terlatih di luar bandar. Kekurangan guru di sekolah rendah dapat dilihat berdasarkan isu-isu berikut:
1. Kekurangan guru bagi mata pelajaran kritikal seperti Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.
2. Kekurangan guru berkelayakan untuk pendidikan khas.
3. Kekurangan guru lelaki berkelayakan mengikut opsyen yang boleh ditempatkan di kawasan pedalaman dan pulau menimbulkan masalah pengendalian kokurikulum dan mendapat guru ganti.
4. Bilangan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) masih ramai di luar bandar.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 masih menekankan kebimbangan yang sama dan keinginan untuk meneruskan hasrat merapatkan jurang berkenaan.
Cuma skopnya mungkin dikecilkan sedikit, iaitu merujuk kepada ketidaksamarataan dari segi penyediaan infrastruktur dan penempatan guru, terutama di Sekolah Kurang Murid (SK) dan sekolah Orang Asli di pedalaman.
Mengikut statistik terbaru, pada 2005 terdapat 5,077 (66.8 peratus) buah sekolah rendah dan 792 (39 peratus) buah sekolah menengah di luar bandar.
Pada kali ini, pihak pengurusan di Kementerian Pelajaran melihat daripada perspektif yang lebih luas.
Sebagai contoh, menurut mereka, sekolah rendah dan menengah, khususnya di luar bandar masih kekurangan infrastruktur serta kemudahan pendidikan.
Terdapat 5,951 (78.3 peratus) sekolah rendah dan 870 (42.9 peratus) sekolah menengah berusia lebih 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan yang tinggi.
Dalam kalangan sekolah tersebut, terdapat 767 buah sekolah rendah dan 28 buah sekolah menengah yang masih belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam
Janakuasa yang dibekalkan pula berkuasa rendah dan tidak mencukupi untuk menampung penggunaan ICT di sekolah, di samping menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel terutama sekolah di pedalaman.
Cabaran KPM adalah untuk membekalkan janakuasa berkuasa tinggi iaitu 30-35KVa, menyediakan mekanisme penyelenggaraan janakuasa dan pembekalan diesel agar sekolah-sekolah ini dapat memanfaatkan penggunaan ICT sepenuhnya.

No comments: